header
 

Jambatan Pulau Pinang meraikan ulangtahun ke-25

Mengimbau kembali pada zaman 1950-an, seorang lelaki telah melontarkan ideanya dengan mencadangkan pembinaan sebuah jambatan merentasi Pulau Pinang ke Butterworth. Idea beliau telah dinilai sebagai tidak masuk akal dan tambahan pula belum pernah ada jambatan seumpamanya dibina di wilayah berkenaan pada zaman tersebut.

Namun, lelaki tersebut tetap mempertahankan ideanya. Beliau yang dimaksudkan adalah Tun Dr Lim Chong Eu.


Tanggal 13 April 1985 merupakan tarikh bersejarah negara di mana pada hari tersebut pembinaan Jambatan Pulau Pinang disempurnakan.

Jambatan ini sepanjang 13.5km di mana 8.4km daripadanya dibina di atas air. Jambatan Pulau Pinang dilengkapi dengan empat buah menara di tengahnya, berdiri setinggi 33 meter dari paras laut, dan diperteguhkan dengan kabel konkrit seperti Golden Gate Bridge yang dibina di San Francisco.

Dari segi kejuruteraan, sejumlah 648km cerucuk, yang menyamai laluan dari Butterworth ke Johor Baru, telah digunakan untuk pembinaannya. Ianya dapat menahan gegaran sehingga ke bacaan 7.5 menurut skala Richter.

Pereka jambatan ini merupakan anak jati Pulau Pinang sendiri iaitu mendiang Tan Sri Prof Chin Fung Kee, seorang jurutera geoteknik yang termahsyur, yang juga pernah memangku jawatan Timbalan Canselor di Universiti Malaya.


Hari Bersejarah: Satu-satunya jamuan yang diadakan di atas Jambatan Pulau Pinang sebelum dibuka dengan rasminya.

Dari segi perspektif sejarah serta pembinaan, Perdana Menteri Malaysia Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengambil inisiatif untuk memastikan idea untuk pembinaan jambatan ini dapat diteruskan pada awal tahun 1970-an.
 
Usaha beliau kemudiannya diteruskan pula oleh Perdana Menteri Ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn pada penghujung tahun 1970an, yang kemudiannya direalisasikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Pada April 1982, Tun Dr Mahathir telah menanam cerucuk pertama jambatan sebagai merasmikan pembinaan jambatan tersebut.

Jambatan tersebut telah dapat disempurnakan pembinaanya di dalam tempoh empat tahun setelah Kerajaan Pusat menyalurkan sebanyak RM850 juta untuk projek ini.

Dalam pembinaan: Gambar semasa pembinaan Jambatan Pulau Pinang.

Pada 3 Ogos 1985, Tun Dr Mahathir telah merasmikan pembukaan jambatan ini dengan penuh kebanggan dan gaya, dengan memandu kereta pertama Malaysia, Proton Saga, sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Di samping menjadi simbol ikon bagi Pulau Pinang, jambatan ini juga merupakan jambatan terpanjang di Asia serta kelima terpanjang di dunia. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menjadikan Larian Jambatan Pulau Pinang sebagai acara tahunan, di mana ianya merupakan sebuah acara sukan antarabangsa yang popular.

Jambatan ini juga telah dilebarkan pada Ogos tahun lalu dan kini ianya dapat menampung kapasiti kenderaan berjumlah 155,000 sehari berbanding 120,000 sebelum ini.

UEM Group amat berbangga kerana dapat menjadi sebahagian dari pembangunan ikonik ini, yang menjadi nadi penghubung bagi penduduk dan aktiviti perniagaan di kedua-dua belah Selat Pulau Pinang.

Dengan sambutan ulangtahun ke-25 Jambatan Pulau Pinang ini, ayuh kita merenung dan mengambil pengajaran daripada komitmen, iltizam dan penyatuan yang telah ditunjukkan oleh rakan-rakan kita yang telah terlibat di dalam projek ini, seterusnya menjadikannya sebagai  contoh tauladan untuk diaplikasikan di dalam usaha-usaha kita sekarang dan juga pada masa hadapan.

Sebahagian maklumat dari artikel ini telah diperolehi dari media tempatan